Sunday 6 November 2011

PROGRAM KORBAN MASJID KARIAH PANCHOR JAYA

YB Tuan Mustafa Salim, ADUN Lenggeng memulakan acara korban di pekarangan masjid.



Orang ramai melihat majlis korban dimulakan.





Kerja-kerja melapah dan menimbang daging untuk diagih-agihkan kepada orang ramai.


DARI sudut sejarah Islam, ibadah korban adalah legasi kepada peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang mengorbankan anaknya, Nabi Ismail a.s untuk disembelih atas perintah Allah s.w.t. bagi menguji keimanan yang kemudian ibadah itu disyariatkan pula ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan umatnya.

Ia akan terus menjadi tarbiah bagi mengagung dan membesarkan Allah serta meningkatkan keimanan.

Masjid Kariah Panchor Jaya pada 6 November 2011, iaitu Hari Raya Aidiladha pertama memberi ruang dan peluang bagi yang berkemampuan menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat Allah dengan menyempurnakan Ibadah Korban. Ini merupakan tahun yang keempat sejak masjid tersebut dibuka pada tahun 2007.

Sebanyak 8 ekor lembu telah berjaya diperoleh masjid dengan penglibatan peserta sebanyak 56 orang ahli kariah sementara 2 ekor lagi adalah sumbangan ABIM.
Majlis Ibadah Korban dilaksanakan mengikut jadual pukul 10.00 pagi dengan dimulakan tetamu jemputan, Tuan Mustafa Salim, ADUN Lenggeng merasmikan acara dengan sembelihan lembu pertama yang dilakukan oleh Imam Bukhari. Kehadiran begitu ramai ahli kariah yang memenuhi ruang halaman masjid di mana program korban dilakukan menyemarakkan lagi suasana hari raya dan korban.

Kerja-kerja melapah semuanya dilakukan oleh hampir 100 orang tenaga sukarelawan di bawah khemah yang disediakan hingga ke lembu terakhir iaitu yang ke sepuluh. Lembu yang pertama dikhaskan untuk dimasak bagi dikongsi dan dinikmati bersama oleh semua ahli kariah.

Pengagihan daging korban untuk orang ramai mula dilaksanakan sebelum masuk waktu zuhur yang diketuai Dr. Nor Azam bersama isterinya, Dr. Hasnah Abdullah serta dibantu tenaga sukarelawan.



Fadilat yang diperoleh daripada Ibadah Korban ini amat besar ertinya antaranya:

* Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

Maksudnya: " Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Aidiladha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Taala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Seungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih." (Hadis riwayat At-Tarmidzi).