Saturday 9 June 2012

LAWATAN KERJA KE MELAKA

Ahli rombongan melihat rempeyek yang sedang digoreng.
TANGGAL 19 Mei 2012, Persatuan Penduduk Fasa 3 Taman Panchor Jaya telah mengadakan siri lawatan ke Perusahaan Industri Kecil (PKS) di Melaka bagi memberi peluang kepada ahli-ahli yang akan terlibat dalam bidang perniagaan yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian daerah Seremban.
Seramai 40 orang mengikuti rombongan ini yang diketuai sendiri oleh pengerusi persatuan, Hj Zubir Hj Dahari dan dibantu oleh bendahari, Ahmad Wahid.
Rombongan berlepas pada pukul 8.00 pagi dari Taman Panchor Jaya dan mereka menikmati sarapan pagi dalam bas yang disediakan oleh pihak urus setia. Sepanjang perjalanan ahli rombongan disajikan soalan kuiz dan cabutan nombor bertuah.
Peserta mula singgah di kilang dodol Serkam kira-kira pukul 10.00 pagi dan diberi penerangan ringkas sejarah kilang itu memulakan perusahaannya sehinggalah berjaya membesarkan perniagaannya.. Kilang ini masih menggunakan kayu pembakar walaupun cara menggunakan kuali besar dan mesin pengisar bermotor. Tradisi ini dikekalkan sehinggalah kepada genersai kedua.
Dodol ini dimasak menggunakan enam kuali dan ia memakan masa antara tujuh ke lapan jam. Tidak perlu sangat perhatian diberi pengisaran tetapi apinya perlu dijaga dan diberi perhatian lebih. Asap daripada api inilah yang mendatangkan aroma pada dodol tersebut. Setelah masak barulah di tuang ke dalam loyang besar dan tunggu sehingga ia sejuk dan barulah dibungkus mengikut pelabelan syarikat.
Rombongan kemudian bertolak pula ke Bandar Hilir untuk shopping dan makan tengah hari. Mereka diberi masa tiga jam dan mesti berada di bas pada pukul 2.00 petang untuk meneruskan perjalanan ke kilang batik, kuih-kuih tradisional dan berakhir di Serkam untuk menikmati makan malam ikan bakar.