Thursday 26 July 2012

RTM BERSAHUR DI RUMAH IBUKU SAYANG

Anak-anak yatim menerima sumbangan duit raya daripada Pengarah RTM Negeri Sembilan.
Ibu-ibu tunggal mengambil makanan untuk bersahur.















SEMPENA program Jelajah RTM Merdeka Raya 2012 krew RTM Negeri Sembilan telah singgah bersahur di Rumah Ibuku Sayang Taman Panchor Jaya  fasa 3 pada 17 Julai 2012 lalu.
Majlis bermula pukul 4.00 pagi dengan temu ramah Pengasas Rumah Ibuku Sayang, Hajah Rayah Abd Ghani dengan radio nasional secara langsung. Kemudian semua penghuni rumah tersebut terdiri daripada ibu-ibu tunggal  dijemput  untuk menerima sumbangan RTM yang disampaikan oleh isteri pengarah RTM Negeri Sembilan.
Tidak dilupakan juga anak-anak yatim  yang menghuni Rumah Anak-Anakku Sayang menerima sumbangan mereka yang disampaikan sendiri oleh pengarah RTM.
Selepas itu barulah semua hadirin dijemput bersahur. Usai bersahur, Krew RTM beralih lokasi menuju ke Masjid Kariah Panchor Jaya yang tidak jauh dari Rumah Ibuku Sayang untuk menunaikan solat Subuh.

Saturday 9 June 2012

LAWATAN KERJA KE MELAKA

Ahli rombongan melihat rempeyek yang sedang digoreng.
TANGGAL 19 Mei 2012, Persatuan Penduduk Fasa 3 Taman Panchor Jaya telah mengadakan siri lawatan ke Perusahaan Industri Kecil (PKS) di Melaka bagi memberi peluang kepada ahli-ahli yang akan terlibat dalam bidang perniagaan yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian daerah Seremban.
Seramai 40 orang mengikuti rombongan ini yang diketuai sendiri oleh pengerusi persatuan, Hj Zubir Hj Dahari dan dibantu oleh bendahari, Ahmad Wahid.
Rombongan berlepas pada pukul 8.00 pagi dari Taman Panchor Jaya dan mereka menikmati sarapan pagi dalam bas yang disediakan oleh pihak urus setia. Sepanjang perjalanan ahli rombongan disajikan soalan kuiz dan cabutan nombor bertuah.
Peserta mula singgah di kilang dodol Serkam kira-kira pukul 10.00 pagi dan diberi penerangan ringkas sejarah kilang itu memulakan perusahaannya sehinggalah berjaya membesarkan perniagaannya.. Kilang ini masih menggunakan kayu pembakar walaupun cara menggunakan kuali besar dan mesin pengisar bermotor. Tradisi ini dikekalkan sehinggalah kepada genersai kedua.
Dodol ini dimasak menggunakan enam kuali dan ia memakan masa antara tujuh ke lapan jam. Tidak perlu sangat perhatian diberi pengisaran tetapi apinya perlu dijaga dan diberi perhatian lebih. Asap daripada api inilah yang mendatangkan aroma pada dodol tersebut. Setelah masak barulah di tuang ke dalam loyang besar dan tunggu sehingga ia sejuk dan barulah dibungkus mengikut pelabelan syarikat.
Rombongan kemudian bertolak pula ke Bandar Hilir untuk shopping dan makan tengah hari. Mereka diberi masa tiga jam dan mesti berada di bas pada pukul 2.00 petang untuk meneruskan perjalanan ke kilang batik, kuih-kuih tradisional dan berakhir di Serkam untuk menikmati makan malam ikan bakar.

Sunday 6 November 2011

PROGRAM KORBAN MASJID KARIAH PANCHOR JAYA

YB Tuan Mustafa Salim, ADUN Lenggeng memulakan acara korban di pekarangan masjid.



Orang ramai melihat majlis korban dimulakan.





Kerja-kerja melapah dan menimbang daging untuk diagih-agihkan kepada orang ramai.


DARI sudut sejarah Islam, ibadah korban adalah legasi kepada peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang mengorbankan anaknya, Nabi Ismail a.s untuk disembelih atas perintah Allah s.w.t. bagi menguji keimanan yang kemudian ibadah itu disyariatkan pula ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan umatnya.

Ia akan terus menjadi tarbiah bagi mengagung dan membesarkan Allah serta meningkatkan keimanan.

Masjid Kariah Panchor Jaya pada 6 November 2011, iaitu Hari Raya Aidiladha pertama memberi ruang dan peluang bagi yang berkemampuan menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat Allah dengan menyempurnakan Ibadah Korban. Ini merupakan tahun yang keempat sejak masjid tersebut dibuka pada tahun 2007.

Sebanyak 8 ekor lembu telah berjaya diperoleh masjid dengan penglibatan peserta sebanyak 56 orang ahli kariah sementara 2 ekor lagi adalah sumbangan ABIM.
Majlis Ibadah Korban dilaksanakan mengikut jadual pukul 10.00 pagi dengan dimulakan tetamu jemputan, Tuan Mustafa Salim, ADUN Lenggeng merasmikan acara dengan sembelihan lembu pertama yang dilakukan oleh Imam Bukhari. Kehadiran begitu ramai ahli kariah yang memenuhi ruang halaman masjid di mana program korban dilakukan menyemarakkan lagi suasana hari raya dan korban.

Kerja-kerja melapah semuanya dilakukan oleh hampir 100 orang tenaga sukarelawan di bawah khemah yang disediakan hingga ke lembu terakhir iaitu yang ke sepuluh. Lembu yang pertama dikhaskan untuk dimasak bagi dikongsi dan dinikmati bersama oleh semua ahli kariah.

Pengagihan daging korban untuk orang ramai mula dilaksanakan sebelum masuk waktu zuhur yang diketuai Dr. Nor Azam bersama isterinya, Dr. Hasnah Abdullah serta dibantu tenaga sukarelawan.



Fadilat yang diperoleh daripada Ibadah Korban ini amat besar ertinya antaranya:

* Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

Maksudnya: " Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Aidiladha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Taala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Seungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih." (Hadis riwayat At-Tarmidzi).










Sunday 30 October 2011

BERAYA DI ISTANA BESAR SERI MENANTI

Orang ramai menikmati juadah hari raya di pekarangan Istana Besar Seri Menanti.



Khemah diraja dihias serba kuning berhampiran khemah orang ramai.



Penulis berkesempatan bergambar dengan penyanyi tersohor, Hattan.


SABAN tahun setiap Hari Raya Aidilfitri, hari pertama penulis akan pulang ke kampung halaman bersama keluarga. Usai sembahyang sunat Aidilfitri di Masjid Kariah Panchor Jaya, biasanya penulis balik ke rumah dulu bersarapan dan menikmati juadah hari raya. Sudah menjadi rutin, sebelum berangkat ke kampung, anak-anak mengambil kesempatan memohon maaf zahir dan batin kepada kedua ibu bapa mereka. Selaku ketua keluarga, penulis biasanya menerima sumbangan duit raya daripada anak-anak.


Selalunya bila pulang ke kampung di Galau, Gunung Pasir, kami sekeluarga mesti beraya dulu di Istana Besar Seri Menanti. Pekarangan istana menjadi medan selera semua rakyat yang hadir beraya bersama Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz dan Tengku Ampuan serta keluarga baginda.


Anak-anak kecil atau cucu-cucu yang hadir bersama keluarga masing-masing akan berbaris panjang untuk bersalaman dengan Tuanku di samping menerima duit raya.
Rakyat menikmati juadah raya dengan boleh membuat pilihan kegemaran mereka kerana kemudahan kios atau gerai makan disediakan dengan begitu banyak sekali, Tepuk dada tanya selera.
Orang ramai begitu teruja sekali berhari raya di pekarangan istana dalam suasana santai. Insya-Allah dapat beraya lagi di istana tahun depan.



Saturday 29 October 2011

WALIMATUL URUS

Kedua mempelai disandingkan bagaikan pinang di belah dua. Semoga Allah memberkatinya.






Penulis diberi penghormatan menjadi penyambut tetamu.




TANGGAL 1hb. Oktober 2011 hari bersejarah ikatan dua mempelai antara Zalifa Binti Alias dengan pasangannya Abdul Halim Bin Hidir menjadi simpulan kukuh bila disandingkan dengan disaksikan sanak saudara kedua belah pihak.


Walaupun hujan turun membasahi bumi, bila kemunculan pengantin lelaki tiba bersama rombongan hujan sudah mula reda, ini agak melegakan sedikit pihak tuan rumah.


Upacara persandingan dilangsungkan di rumah pengantin perempuan di No. 851 Jalan Semarak 15, Taman Panchor Jaya Fasa 3, Seremban.
Ayahanda dan bonda kepada Zalifah ialah Alias Bin Abdul Rafeck dan Farizah Binti Hussain yang tidak asing iaitu rakan karib kepada penulis.

Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Dato' Ishak Ismail, Ketua UMNO Bahagian Seremban.




Mutiara Hikmah


" Ya Allah Ya Tuhan kami, seungguhnya hati kami ini bersatu dengan kasih sayang-Mu, Maha Suci Engkau Ya Allah, jadikanlah majlis ini, majlis yang mendapat keberkatan dan keredaan dari-Mu. Perteguhkanlah tali ikatan di antara kami, dan semoga ikatan perkawinan ini berkekalan hingga ke akhir hayat kami". Amin Ya Rabbal Alamin.


Thursday 29 September 2011

GAMBAR-GAMBAR SEKITAR RUMAH TERBUKA MASJID

Tuan Nazir, Hj Wan Abdullah Wan Su menyampaikan hamper hadiah bertuah kepada pemenang.






Hadiah hamper sumbangan persatuan taman-taman.





Hamper cabutan bertuah sumbangan Mydin.





Tuan Hj Ridzuan Mahyudin ditugaskan menjaga air minuman di khemah masjid dan koperasi.





Kanak-kanak berbaris untuk menerima angpau raya dari khemah ISMA dan ABIM.





Pengunjung menikmati juadah raya di khemah 1 yang diselenggara oleh Fasa 3 TPJ.





Pengunjung memilih makanan kegemaran mereka.





Orang ramai menikmati makanan mereka di khemah tetamu.





Orang ramai mendaftar borang data di khemah urus setia.





Pengunjung datang silih berganti ke khemah yang menyediakan juadah raya.











KEMERIAHAN 'Rumah Terbuka' Masjid Kariah Panchor Jaya 11 September 2011 menampakkan kemesraan hubungan antara jemaah dengan masjid terserlah bila pengunjung berjujai datang. Momentum kehadiran orang ramai harus dikekal dan ia menjadi pemangkin kepada jawatankuasa lebih proaktif dengan menyediakan program yang lebih besar. Ini memperlihatkan kepada masjid bahawa yang digusarkan selama ini sudah terjawab. Kita tidak perlu risau kepada persepsi 'kurang' mendapat sambutan orang ramai atau kemungkinan diboikit itu sudah kian pudar bila ahli kariah sentiasa hadir dengan jumlah yang cukup membanggakan.




Masjid ini milik kita semua, bukan untuk ahli jawatankuasa sahaja. Sumbangan untuk membangun rumah Allah ini seharusnya menjadi kewajiban kita semua.




Kita memiliki masjid yang tersergam indah. Keindahan masjid dari segi fizikal perlu dilanjutkan kepada penghuni masjid serta aktiviti dan ahli kariahnya juga mempunyai sifat-sifat yang indah. Setiap ahli kariah boleh memainkan peranan mengikut kepakaran yang dimilikki serta bersedia pula untuk belajar sesama kita demi meningkatkan ilmu.
Langkah permulaan menghimpunkan semua 9 taman bergabung dalam satu perayaan cukup mengesankan dan ini seharusnya menjadi program tahunan. Momen nostalgik dan ceria mewarnai sambutan Hari Raya Aidilfitri.








'SESUNGGUHNYA MASJID YANG DIDIRIKAN ATAS DASAR TAKWA (MASJID QUBA) SEJAK HARI PERTAMA ADALAH LEBIH PATUT KAMU BERSEMBAHYANG DI DALAMNYA. DI DALAMNYA ADA ORANG YANG INGIN MEMBERSIHKAN DIRI DAN ALLAH MENYUKAI ORANG-ORANG YANG BERSIH' (AT-TAUBAH : 108)


























MENU IMPORT LAYAK MENANG

Cendol Kampung Jiboi Baru memang sedap. Tidak sampai satu jam cendol sudah habis.



MENU cendol Kampung Jiboi Baru yang diimport oleh Khemah 2 memang 'layak' dinobatkan 'Rumah Terbuka Tercantik' oleh para juri telus mata dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Masjid Kariah Panchor Jaya pada 11 September 2011. Keputusan pengadil adalah muktamad. Memang biasalah 'rumah siap pahat akan berbunyi'. Kata pertandingan khemah tercantik tiba-tiba tukar kategori. Entah mana silapnya khemah-khemah lain yang beria-ia menyediakan juadah buatan sendiri dan menghiaskan khemah mengikut tema perayaan boleh di kesampingkan, entahlah.