Sunday 30 October 2011

BERAYA DI ISTANA BESAR SERI MENANTI

Orang ramai menikmati juadah hari raya di pekarangan Istana Besar Seri Menanti.



Khemah diraja dihias serba kuning berhampiran khemah orang ramai.



Penulis berkesempatan bergambar dengan penyanyi tersohor, Hattan.


SABAN tahun setiap Hari Raya Aidilfitri, hari pertama penulis akan pulang ke kampung halaman bersama keluarga. Usai sembahyang sunat Aidilfitri di Masjid Kariah Panchor Jaya, biasanya penulis balik ke rumah dulu bersarapan dan menikmati juadah hari raya. Sudah menjadi rutin, sebelum berangkat ke kampung, anak-anak mengambil kesempatan memohon maaf zahir dan batin kepada kedua ibu bapa mereka. Selaku ketua keluarga, penulis biasanya menerima sumbangan duit raya daripada anak-anak.


Selalunya bila pulang ke kampung di Galau, Gunung Pasir, kami sekeluarga mesti beraya dulu di Istana Besar Seri Menanti. Pekarangan istana menjadi medan selera semua rakyat yang hadir beraya bersama Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz dan Tengku Ampuan serta keluarga baginda.


Anak-anak kecil atau cucu-cucu yang hadir bersama keluarga masing-masing akan berbaris panjang untuk bersalaman dengan Tuanku di samping menerima duit raya.
Rakyat menikmati juadah raya dengan boleh membuat pilihan kegemaran mereka kerana kemudahan kios atau gerai makan disediakan dengan begitu banyak sekali, Tepuk dada tanya selera.
Orang ramai begitu teruja sekali berhari raya di pekarangan istana dalam suasana santai. Insya-Allah dapat beraya lagi di istana tahun depan.



No comments:

Post a Comment