Wednesday 28 September 2011

SAMBUTAN RAYA DI MASJID MERIAH







Momen nostalgik mengimbau sambutan raya di Masjid Kariah Panchor Jaya.






TANGGAL 11 September 2011, Masjid Kariah Panchor Jaya buat julung kalinya berjaya menggabungkan kesuluruhan 9 taman perumahan di kariahnya bersatu dalam menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.


Orang ramai mula berjujai datang sebaik usai solat asar. Sebanyak 6 khemah menyediakan pelbagai menu dan juadah menjadi serbuan pengunjung. Khemah-khemah ini diselenggerakan oleh pengerusi-pengerusi taman seperti Taman Panchor Jaya 1 hingga 8 fasa, Taman Seri Telawi, Taman Bukit Margosa dan Taman Ampangan serta disertai sama badan-badan bukan kerajaan seperti ABIM dan ISMA.


Khemah 1 yang diwakili oleh Fasa 1&2 dan 3 mengemukakan menu mi kari, jeli kelapa dan kuih-kuih tradisional seperti bahulu, cakar ayam, bangkit dan maruku. Sedikit mengecewakan bila Fasa 1&2 gagal bersama yang sepatutnya membawa menu kambing panggang, mereka cuma menghantar juadah minuman petang.


Khemah 2 gabungan antara Fasa 4 dan 5&6. Pujian harus diberi pada Fasa 5&6 yang dapat mengemukakan menu nasi tomato sementara Fasa 4 hanya mengimport cendol buatan Kampung Jiboi dan aiskrim


Khemah 3 diselenggera oleh ISMA dan ABIM yang menghidangkan lemang, rendang dan laksa sarawak. Mereka siap sekali dengan angpau raya untuk kanak-kanak. Khemah ini mula diserbu kanak-kanak bila diumumkan bila ada duit yang hendak diagihkan.


Khemah 4 mempromosi laksa penang dan aneka sup yang dibuat khas oleh Taman Sri Telawi dan Ampangan Fasa 3.


Sementara Taman Bukit Margosa dan Fasa 7&8 TPJ menghuni khemah 5 dengan menu char kuetiau serta lontong dan nasi impit.


Masjid dan Koperasi menyediakan sate, minuman dan buah-buahan di khemah 6.


Khemah 2 diisytihar pemenang ' Rumah Terbuka Tercantik' dengan hadiah RM 300.00 setiap kumpulan. Manakala khemah lain menerima saguhati RM100.00.


Tanpa atur cara, majlis sedikit kelam-kabut bila pengunjung terus menyerbu khemah yang menyediakan makanan. Sepatutnya mereka diarah duduk di khemah tetamu untuk mendengar ucapan aluan Tuan Nazir, Hj Wan Abdullah Wan Su. Beliau terpaksa berucap ketika orang ramai sedang menikmati makanan.


Kemeriahan sambutan Hari Raya mula menampakkan serinya bila selang lima minit diumumkan 10 orang pemenang cabutan bertuah. Hadiah hamper sebanyak 100 unit sumbangan Mydin disediakan. Ini bermakna hampir satu jam setengah untuk menghabiskan kesemua hamper dan hadiah saguhati selain hadiah besar sumbangan taman-taman.


Setiap pengunjung perlu mengisi borang data bagi kemudahan urus setia mengumpul maklumat ahli kariah. Melalui pengisian borang inilah cabutan dapat dilakukan dan kemudian diumumkan pemenang bertuah.


Langkah permulaan ini harus dikekalkan momentumnya untuk dibawa ke tahun hadapan yang dijangka lebih meriah lagi, insya-Allah.





"MASJID ADALAH RUMAH SETIAP ORANG YANG BERTAKWA. DAN ALLAH MENJAMIN DENGAN ROH, RAHMAT DAN KELANCARAN PERJALANANNYA MENUJU REDA ALLAH, MENUJU SYURGA, BAGI ORANG YANG MENJADIKAN MASJID RUMAHNYA" (Riwayat Tabrani dalam al-Mu'jam al-Kabir dan al-Ausath).




















No comments:

Post a Comment