Sunday 6 November 2011

PROGRAM KORBAN MASJID KARIAH PANCHOR JAYA

YB Tuan Mustafa Salim, ADUN Lenggeng memulakan acara korban di pekarangan masjid.



Orang ramai melihat majlis korban dimulakan.





Kerja-kerja melapah dan menimbang daging untuk diagih-agihkan kepada orang ramai.


DARI sudut sejarah Islam, ibadah korban adalah legasi kepada peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang mengorbankan anaknya, Nabi Ismail a.s untuk disembelih atas perintah Allah s.w.t. bagi menguji keimanan yang kemudian ibadah itu disyariatkan pula ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan umatnya.

Ia akan terus menjadi tarbiah bagi mengagung dan membesarkan Allah serta meningkatkan keimanan.

Masjid Kariah Panchor Jaya pada 6 November 2011, iaitu Hari Raya Aidiladha pertama memberi ruang dan peluang bagi yang berkemampuan menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat Allah dengan menyempurnakan Ibadah Korban. Ini merupakan tahun yang keempat sejak masjid tersebut dibuka pada tahun 2007.

Sebanyak 8 ekor lembu telah berjaya diperoleh masjid dengan penglibatan peserta sebanyak 56 orang ahli kariah sementara 2 ekor lagi adalah sumbangan ABIM.
Majlis Ibadah Korban dilaksanakan mengikut jadual pukul 10.00 pagi dengan dimulakan tetamu jemputan, Tuan Mustafa Salim, ADUN Lenggeng merasmikan acara dengan sembelihan lembu pertama yang dilakukan oleh Imam Bukhari. Kehadiran begitu ramai ahli kariah yang memenuhi ruang halaman masjid di mana program korban dilakukan menyemarakkan lagi suasana hari raya dan korban.

Kerja-kerja melapah semuanya dilakukan oleh hampir 100 orang tenaga sukarelawan di bawah khemah yang disediakan hingga ke lembu terakhir iaitu yang ke sepuluh. Lembu yang pertama dikhaskan untuk dimasak bagi dikongsi dan dinikmati bersama oleh semua ahli kariah.

Pengagihan daging korban untuk orang ramai mula dilaksanakan sebelum masuk waktu zuhur yang diketuai Dr. Nor Azam bersama isterinya, Dr. Hasnah Abdullah serta dibantu tenaga sukarelawan.



Fadilat yang diperoleh daripada Ibadah Korban ini amat besar ertinya antaranya:

* Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

Maksudnya: " Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Aidiladha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Taala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Seungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih." (Hadis riwayat At-Tarmidzi).










Sunday 30 October 2011

BERAYA DI ISTANA BESAR SERI MENANTI

Orang ramai menikmati juadah hari raya di pekarangan Istana Besar Seri Menanti.



Khemah diraja dihias serba kuning berhampiran khemah orang ramai.



Penulis berkesempatan bergambar dengan penyanyi tersohor, Hattan.


SABAN tahun setiap Hari Raya Aidilfitri, hari pertama penulis akan pulang ke kampung halaman bersama keluarga. Usai sembahyang sunat Aidilfitri di Masjid Kariah Panchor Jaya, biasanya penulis balik ke rumah dulu bersarapan dan menikmati juadah hari raya. Sudah menjadi rutin, sebelum berangkat ke kampung, anak-anak mengambil kesempatan memohon maaf zahir dan batin kepada kedua ibu bapa mereka. Selaku ketua keluarga, penulis biasanya menerima sumbangan duit raya daripada anak-anak.


Selalunya bila pulang ke kampung di Galau, Gunung Pasir, kami sekeluarga mesti beraya dulu di Istana Besar Seri Menanti. Pekarangan istana menjadi medan selera semua rakyat yang hadir beraya bersama Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz dan Tengku Ampuan serta keluarga baginda.


Anak-anak kecil atau cucu-cucu yang hadir bersama keluarga masing-masing akan berbaris panjang untuk bersalaman dengan Tuanku di samping menerima duit raya.
Rakyat menikmati juadah raya dengan boleh membuat pilihan kegemaran mereka kerana kemudahan kios atau gerai makan disediakan dengan begitu banyak sekali, Tepuk dada tanya selera.
Orang ramai begitu teruja sekali berhari raya di pekarangan istana dalam suasana santai. Insya-Allah dapat beraya lagi di istana tahun depan.



Saturday 29 October 2011

WALIMATUL URUS

Kedua mempelai disandingkan bagaikan pinang di belah dua. Semoga Allah memberkatinya.






Penulis diberi penghormatan menjadi penyambut tetamu.




TANGGAL 1hb. Oktober 2011 hari bersejarah ikatan dua mempelai antara Zalifa Binti Alias dengan pasangannya Abdul Halim Bin Hidir menjadi simpulan kukuh bila disandingkan dengan disaksikan sanak saudara kedua belah pihak.


Walaupun hujan turun membasahi bumi, bila kemunculan pengantin lelaki tiba bersama rombongan hujan sudah mula reda, ini agak melegakan sedikit pihak tuan rumah.


Upacara persandingan dilangsungkan di rumah pengantin perempuan di No. 851 Jalan Semarak 15, Taman Panchor Jaya Fasa 3, Seremban.
Ayahanda dan bonda kepada Zalifah ialah Alias Bin Abdul Rafeck dan Farizah Binti Hussain yang tidak asing iaitu rakan karib kepada penulis.

Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Dato' Ishak Ismail, Ketua UMNO Bahagian Seremban.




Mutiara Hikmah


" Ya Allah Ya Tuhan kami, seungguhnya hati kami ini bersatu dengan kasih sayang-Mu, Maha Suci Engkau Ya Allah, jadikanlah majlis ini, majlis yang mendapat keberkatan dan keredaan dari-Mu. Perteguhkanlah tali ikatan di antara kami, dan semoga ikatan perkawinan ini berkekalan hingga ke akhir hayat kami". Amin Ya Rabbal Alamin.


Thursday 29 September 2011

GAMBAR-GAMBAR SEKITAR RUMAH TERBUKA MASJID

Tuan Nazir, Hj Wan Abdullah Wan Su menyampaikan hamper hadiah bertuah kepada pemenang.






Hadiah hamper sumbangan persatuan taman-taman.





Hamper cabutan bertuah sumbangan Mydin.





Tuan Hj Ridzuan Mahyudin ditugaskan menjaga air minuman di khemah masjid dan koperasi.





Kanak-kanak berbaris untuk menerima angpau raya dari khemah ISMA dan ABIM.





Pengunjung menikmati juadah raya di khemah 1 yang diselenggara oleh Fasa 3 TPJ.





Pengunjung memilih makanan kegemaran mereka.





Orang ramai menikmati makanan mereka di khemah tetamu.





Orang ramai mendaftar borang data di khemah urus setia.





Pengunjung datang silih berganti ke khemah yang menyediakan juadah raya.











KEMERIAHAN 'Rumah Terbuka' Masjid Kariah Panchor Jaya 11 September 2011 menampakkan kemesraan hubungan antara jemaah dengan masjid terserlah bila pengunjung berjujai datang. Momentum kehadiran orang ramai harus dikekal dan ia menjadi pemangkin kepada jawatankuasa lebih proaktif dengan menyediakan program yang lebih besar. Ini memperlihatkan kepada masjid bahawa yang digusarkan selama ini sudah terjawab. Kita tidak perlu risau kepada persepsi 'kurang' mendapat sambutan orang ramai atau kemungkinan diboikit itu sudah kian pudar bila ahli kariah sentiasa hadir dengan jumlah yang cukup membanggakan.




Masjid ini milik kita semua, bukan untuk ahli jawatankuasa sahaja. Sumbangan untuk membangun rumah Allah ini seharusnya menjadi kewajiban kita semua.




Kita memiliki masjid yang tersergam indah. Keindahan masjid dari segi fizikal perlu dilanjutkan kepada penghuni masjid serta aktiviti dan ahli kariahnya juga mempunyai sifat-sifat yang indah. Setiap ahli kariah boleh memainkan peranan mengikut kepakaran yang dimilikki serta bersedia pula untuk belajar sesama kita demi meningkatkan ilmu.
Langkah permulaan menghimpunkan semua 9 taman bergabung dalam satu perayaan cukup mengesankan dan ini seharusnya menjadi program tahunan. Momen nostalgik dan ceria mewarnai sambutan Hari Raya Aidilfitri.








'SESUNGGUHNYA MASJID YANG DIDIRIKAN ATAS DASAR TAKWA (MASJID QUBA) SEJAK HARI PERTAMA ADALAH LEBIH PATUT KAMU BERSEMBAHYANG DI DALAMNYA. DI DALAMNYA ADA ORANG YANG INGIN MEMBERSIHKAN DIRI DAN ALLAH MENYUKAI ORANG-ORANG YANG BERSIH' (AT-TAUBAH : 108)


























MENU IMPORT LAYAK MENANG

Cendol Kampung Jiboi Baru memang sedap. Tidak sampai satu jam cendol sudah habis.



MENU cendol Kampung Jiboi Baru yang diimport oleh Khemah 2 memang 'layak' dinobatkan 'Rumah Terbuka Tercantik' oleh para juri telus mata dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Masjid Kariah Panchor Jaya pada 11 September 2011. Keputusan pengadil adalah muktamad. Memang biasalah 'rumah siap pahat akan berbunyi'. Kata pertandingan khemah tercantik tiba-tiba tukar kategori. Entah mana silapnya khemah-khemah lain yang beria-ia menyediakan juadah buatan sendiri dan menghiaskan khemah mengikut tema perayaan boleh di kesampingkan, entahlah.

Wednesday 28 September 2011

SAMBUTAN RAYA DI MASJID MERIAH







Momen nostalgik mengimbau sambutan raya di Masjid Kariah Panchor Jaya.






TANGGAL 11 September 2011, Masjid Kariah Panchor Jaya buat julung kalinya berjaya menggabungkan kesuluruhan 9 taman perumahan di kariahnya bersatu dalam menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.


Orang ramai mula berjujai datang sebaik usai solat asar. Sebanyak 6 khemah menyediakan pelbagai menu dan juadah menjadi serbuan pengunjung. Khemah-khemah ini diselenggerakan oleh pengerusi-pengerusi taman seperti Taman Panchor Jaya 1 hingga 8 fasa, Taman Seri Telawi, Taman Bukit Margosa dan Taman Ampangan serta disertai sama badan-badan bukan kerajaan seperti ABIM dan ISMA.


Khemah 1 yang diwakili oleh Fasa 1&2 dan 3 mengemukakan menu mi kari, jeli kelapa dan kuih-kuih tradisional seperti bahulu, cakar ayam, bangkit dan maruku. Sedikit mengecewakan bila Fasa 1&2 gagal bersama yang sepatutnya membawa menu kambing panggang, mereka cuma menghantar juadah minuman petang.


Khemah 2 gabungan antara Fasa 4 dan 5&6. Pujian harus diberi pada Fasa 5&6 yang dapat mengemukakan menu nasi tomato sementara Fasa 4 hanya mengimport cendol buatan Kampung Jiboi dan aiskrim


Khemah 3 diselenggera oleh ISMA dan ABIM yang menghidangkan lemang, rendang dan laksa sarawak. Mereka siap sekali dengan angpau raya untuk kanak-kanak. Khemah ini mula diserbu kanak-kanak bila diumumkan bila ada duit yang hendak diagihkan.


Khemah 4 mempromosi laksa penang dan aneka sup yang dibuat khas oleh Taman Sri Telawi dan Ampangan Fasa 3.


Sementara Taman Bukit Margosa dan Fasa 7&8 TPJ menghuni khemah 5 dengan menu char kuetiau serta lontong dan nasi impit.


Masjid dan Koperasi menyediakan sate, minuman dan buah-buahan di khemah 6.


Khemah 2 diisytihar pemenang ' Rumah Terbuka Tercantik' dengan hadiah RM 300.00 setiap kumpulan. Manakala khemah lain menerima saguhati RM100.00.


Tanpa atur cara, majlis sedikit kelam-kabut bila pengunjung terus menyerbu khemah yang menyediakan makanan. Sepatutnya mereka diarah duduk di khemah tetamu untuk mendengar ucapan aluan Tuan Nazir, Hj Wan Abdullah Wan Su. Beliau terpaksa berucap ketika orang ramai sedang menikmati makanan.


Kemeriahan sambutan Hari Raya mula menampakkan serinya bila selang lima minit diumumkan 10 orang pemenang cabutan bertuah. Hadiah hamper sebanyak 100 unit sumbangan Mydin disediakan. Ini bermakna hampir satu jam setengah untuk menghabiskan kesemua hamper dan hadiah saguhati selain hadiah besar sumbangan taman-taman.


Setiap pengunjung perlu mengisi borang data bagi kemudahan urus setia mengumpul maklumat ahli kariah. Melalui pengisian borang inilah cabutan dapat dilakukan dan kemudian diumumkan pemenang bertuah.


Langkah permulaan ini harus dikekalkan momentumnya untuk dibawa ke tahun hadapan yang dijangka lebih meriah lagi, insya-Allah.





"MASJID ADALAH RUMAH SETIAP ORANG YANG BERTAKWA. DAN ALLAH MENJAMIN DENGAN ROH, RAHMAT DAN KELANCARAN PERJALANANNYA MENUJU REDA ALLAH, MENUJU SYURGA, BAGI ORANG YANG MENJADIKAN MASJID RUMAHNYA" (Riwayat Tabrani dalam al-Mu'jam al-Kabir dan al-Ausath).




















Wednesday 14 September 2011

RUMAH ANAK-ANAKKU SAYANG

SEJARAH PENUBUHAN


Rumah Anak-Anakku Sayang ditubuhkan pada 1 Januari 2008 oleh Ustazah Rayah Abd Ghani. Beliau adalah bekas seorang guru Sekolah Menengah dan kini bergiat aktif sebagai penceramah bebas di surau-surau, jabatan kerajaan, swasta dan kampung-kampung di sekitar daerah Seremban, Negeri Sembilan.






Kediaman rumah anak-anak yatim yang dibeli khusus hasil sumbangan orang ramai.


Beliau merupakan pengasas kepada Rumah Ibuku Sayang dan Kelas Tahfiz al-Quran dan Fardu Ain ar-Rayyan mempunyai sifat penyayang, merasa terharu apabila melihat anak-anak yang terbiar tanpa perhatian setelah ibu atau bapa mereka pergi menyahut seruan Ilahi. Atas rasa keinsafan di hati, beliau berasa terpanggil untuk melakukan sesuatu terhadap anak-anak yang terbiar lalu menubuhkan Rumah Anak-Anakku Sayang.

Beliau tidak mahu melihat anak-anak itu tercicir dalam pelajaran atau terjebak dalam gejala sosial. Hasil dari semangat yang gigih serta sokongan dan dorongan dari anak-anak beliau sendiri serta sahabat-sahabat maka Ustazah Rayah membeli sebuah rumah untuk kediaman anak-anak yatim tersebut. Mula beroperasi pada 17 Mac 2008 di penempatan sementara di 391 Lorong 2/4 Taman Desa Melor, Senawang.

Mereka kini ditetapkan di premis yang beralamat 1013 Persiaran Semarak 2, Taman Panchor Jaya, 70400 Seremban, Negeri Sembilan.

Sebelum ini Rumah Anakku Sayang (RAS) didaftarkan dengan Suruhanjaya Pertubuhan pada Jun 2009 dengan nama "Pertubuhan Kebajikan Anakku Sayang Seremban Negeri Sembilan" (PKASSS) dan juga didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sekarang pengurusan RAS telah didaftarkan di bawah Pendaftaran Perniagaan dan diuruskan oleh Ustazah Rayah secara persendirian.


Objektif

Objektif utama RAS ditubuhkan:

- Memberi penempatan yang selesa dan sempurna kepada anak-anak yatim.

- Memberi perlindungan agar tidak terjebak dengan gejala sosial.

- Memberi didikan agama dan akademik yang sempurna agar mereka menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

- Memberi perhatian dan kasih sayang agar mereka merasakan diri mereka dihargai dan masih ada yang menyayangi mereka.

- Mendidik mereka hidup berdikari dan membina semangat ukhuwah sesama penghuni.


Visi

- Melahirkan insan cemerlang dalam agama dan akademik serta membentuk sahsiah diri.


Penghuni

Sehingga kini mempunyai 10 orang penghuni yang datang dari sekitar Negeri Sembilan. Penghuni berumur antara 10 - 17 tahun. Bagi yang bersekolah menengah mereka kini belajar di Sekolah Menegah Pendita Zaaba, Paroi Jaya dan yang bersekolah rendah pula di Sekolah Kebangsaan Paroi Jaya.


Senarai nama:

01. Helmi Fadli bin Ahmad Fadzil - 16 tahun

02. Ahmad Azwan bin Salim - 16 tahun

03. Faizul Al Hasraf bin Zul - 15 tahun

04. Faizul Al Qusyairee bin Zul

05. Nazurie bin Mazlan

06. Mohamad Zahari bin Mohd Zaidi - 13 tahun

07. Muhammad Johari bin Samuri - 13 tahun

08. Mohd Al Imran bin Muhammad Nor Affendi - 13 tahun

09. Muhammad Asraf - 10 tahun

10. Alimi bin Sidik - 8 tahun


Premis Penempatan

Dibeli pada 2 Disember 2008 dengan harga RM128,500.00 melalui lelongan awam. Sehingga kini bayaran bulanan sedang dilunaskan.


Dana

Sehingga kini RAS belum mempunyai sumber dana yang tetap. Dana diperoleh dari individu yang sudi menghulur bagi menampung sara hidup dan kos harian penghuni.

Kami merayu pada masyarakat agar dapat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban.

Segala sumbangan boleh disalurkan kepada:


Ustazah Rayah Bt Abd Ghani

No. Akaun RHB: 1050 888000 11890


Atau Hubungi:

Hj Zubir Hj Dahari

Pengurus Promosi

Tel: 06-6774079

H/p : 019-341 2636



Penutup


Hulurkan bantuan ikhlas anda agar penghuni-penghuni Rumah Anakku Sayang dapat menikmati kehidupan seperti anak-anak yang punya ibu dan bapa. Bantulah kami dalam mendidik Anak-Anakku Sayang agar mereka beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.

Sunday 11 September 2011

RUMAH IBUKU SAYANG

Sejarah Penubuhan

Rumah Ibuku Sayang ditubuhkan pada awal 2005 oleh Ustazah Rayah Abd. Ghani. Beliau merupakan seorang guru Sekolah Menengah dan kini bergiat aktif sebagai penceramah bebas di surau-surau, jabatan-jabatan kerajaan, swasta dan kampung-kampung di sekitar Seremban, Negeri Sembilan.
Ustazah Rayah memiliki kelulusan Diploma Eksekutif Lanjutan dari Universiti Malaya dan kini meneruskan pengajian di peringkat Sarjana Muda Pengajian dengan kepujian Islam (Pengajian al-Quran dan al-Sunah) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Pengajian beliau akan tamat pada 2012.
Hasil dari pengalaman yang luas, semangat serta usaha yang gigih, sokongan dari anak-anak dan bantuan dari sahabat-sahabat maka Rumah Ibuku Sayang dapat direalisasikan. Mula beroperasi pada Julai 2005 dan juga berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.





Ustazah Rayah (kiri) bersama Hjh Raya (pembantu peribadi) bergambar di hadapan Rumah Ibuku Sayang.









Objektif

Matlamat utama ia ditubuhkan ialah membantu warga emas wanita terutama yang tinggal bersendirian untuk bersahabat dan mengisi masa dengan dengan melakukan amal jariah. Berfungsi sebagai pondok ilmu ia menyediakan suasana yang sesuai bagi penghuni-penghuni untuk beramal dan berilmu secara berjemaah. Mereka berpeluang untuk beribadah dan mendekatkan diri dengan Allah tanpa ada sebarang gangguan. Mereka mempunyai pelbagai aktiviti yang diatur untuk sepanjang hari supaya masa mereka tidak berlalu dengan sia-sia. Masa mereka diisi dengan solat fardu berjemaah, majlis-majlis ilmu, bacaan dan tafsir al-Quran, solat malam, zikir serta puasa sunat.

Visi

* Menjadikan rumah ini suatu tempat yang boleh menggalakkan warga emas wanita beramal dengan ilmu secara berjemaah.
* Membantu mereka agar tidak tinggal bersendirian atau terlalu dibebankan membantu tugas anak-anak.
* Membantu mereka menjadi warga emas yang ceria, gembira, tenang, berfikiran positif dan berilmu.

Penghuni

Sehingga kini mempunyai 10 orang penghuni yang diselenggarakan oleh seorang penyelia. Penghuni kebanyakkannya datang dari sekitar Negeri Sembilan. Mereka berusia dalam lingkungan 60 hingga 90 tahun. Setiap penghuni dikenakan bayaran sebanyak RM200 sebulan bagi menampung kos harian, sewa rumah dan tenaga pengajar yang datang mengajar. Bagi mereka yang tidak mampu dikecualikan.

Senarai nama:

01. Ustazah Rayah bt Abd. Ghani - Pengasas - 73 tahun
02. Hjh Raya bt Mohd Noor - Pembantu peribadi - 60 tahun
03. Endon bt Omar - 72 tahun
04. Noriah bt Saoh @ Sapiah bt Saoh - 74 tahun
05. Hatijah bt Din - 85 tahun
06. Norlia bt Hassan - 77 tahun
07. Nyenah @ Normah bt Karim - 67 tahun
08. Alus bt Mat - 91 tahun
09. Khazaifah bt Zakaria - 63 tahun
10. Rokiah bt Hashim - 59 tahun
11. Mariam bt Kasim - 69 tahun.

Penutup

Menghantar ibu anda ke Rumah Ibuku Sayang bukan bererti anda anak derhaka. Jangan bebankan ibu anda dengan tugasan rumah dan anak-anak anda. Hadiahkan kebebasan kepada ibu anda untuk beramal dan beribadat di usia emas mereka tanpa sebarang gangguan serta membina minda yang positif - anda adalah anak yang soleh dan solehah.

Kami mengalu-alukan sumbangan dari individu, badan-badan kerajaan atau ahli korporat untu mengisi tabung Rumah Ibuku Sayang bagi menampung kos operasi dan sara hidup penghuni.

Segala sumbangan boleh dibuat kepada:

RUMAH IBUKU SAYANG
No. Akaun (RHB: 2050-880000-4227)

Alamat: 875 Persiaran Semarak 2, Taman Panchor Jaya,
70400 Seremban,
Negeri Sembilan Darul Khusus.

Maklumat lanjut hubungi:


HJ ZUBIR HJ DAHARI
Pengurus Promosi
Rumah: 06-6774079
H/p : 013-3412636
e-mail: zubir.dahari001@gmail.com












"Mudah-mudahan ALLAH s.w.t. jadikan kita baik

di kalangan orang-orang yang terbaik"

Sunday 28 August 2011

PERASMIAN PROGRAM KHEMAH IBADAH

Satu program Khemah Ibadah anjuran Persatuan al-Quran Ar-Rayyan telah diadakan di kediaman Ustazah Rayah Abd Ghani di 882 Persiaran 2, Taman Panchor Jaya pada 16 Julai 2011.
Program ini memberi peluang kepada peserta mengisi waktu mereka selama dua hari dengan mendengar ceramah dan qiamulail di masjid berhampiran.
Sebanyak 4 kertas kerja telah dibentangkan oleh penceramah pilihan. Kertas 1 bertajuk
" Peranan Solat Sunat" disampaikan oleh Ustaz Suhaimi Kasim. Ustaz Bakhtiar Yusof memberikan ceramahnya bertajuk "Mengapa Kita Sembahyang". Ceramah 3 terpaksa di ambil alih Ustazah Rayyah sendiri kerana penceramah Mohd Azmil Mustafa tidak dapat hadir. Sementara penceramah ke 4 Ustazah Fatimah Abu Bakar memberikan kuliahnya bertajuk "Siapa Kita Sebenarnya".
Seramai 40 orang peserta menyertai kursus ini terdiri daripada kaum wanita sahaja.
Program tersebut telah dirasmikan Tuan Hj Zubir Hj Dahari, Pengerusi Persatuan Penduduk Fasa 3 Taman Panchor Jaya.
Dalam ucapannya, beliau meyarankan kepada peserta supaya menimba ilmu walaupun di mana saja ia diadakan. Lebih banyak kita belajar, lebih banyak kita mengetahui kekurangan diri kita.
Hj Zubir mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur yang sentiasa mengadakan majlis ilmu sama ada di rumah kediaman Ustazah Rayah mahupun di Rumah Anak-Anakku Sayang dan Rumah Ibuku Sayang.

Ustazah Rayyah selaku penasihat program mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua AJK terlibat, para peserta yang sudi melapangkan masa selama dua hari berhimpun dalam khemah ibadah dan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Khemah Ibadah ini secara langsung atau tidak langsung.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada para penderma yang sudi menghulurkan sumbangan bagi menjayakan program ini. Beliau berharap semoga khemah ibadah ini memberi seribu satu manfaat kepada semua.

Gambar atas: Ustazah Rayah sedang membacakan doa memohon kepada Allah untuk kesejahteraan program
dalam mencapai matlamatnya.






Gambar bawah: Puan Hjh Maimun Ibrahim mempersilakan Tuan Hj Zubir menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Program Khemah Ibadah.